SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan sebanyak 11,832 ladang dalam negara di bawah subsektor tanaman menerima pensijilan myGAP sejak 2003 sehingga tahun lalu.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi pensijilan myOrganic pula, sebanyak 326 ladang telah menerima pensijilan berkenaan bagi tempoh yang sama.
Mohamad berkata, kedua-dua pensijilan amalan pertanian baik itu bertujuan untuk menerapkan amalan secara mampan bagi memelihara keseimbangan antara alam sekitar dan ekosistem.
Katanya, ia bagi memastikan pertumbuhan industri itu tidak mengakibatkan pencemaran dan kerosakan alam sekitar sekali gus memenuhi permintaan makanan yang semakin meningkat.
“Dengan peningkatan kesedaran terhadap aspek keselamatan makanan dan pengurangan impak negatif terhadap alam sekitar, sektor agromakanan akan terus komited menambah baik kecekapan penggunaan sumber asli.
“Pada masa sama ia meningkatkan kadar penerimagunaan amalan pertanian yang baik oleh wira agro, para petani di negara ini,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Lokman Hakim Ali sempena Majlis Apresiasi Pensijilan myGAP dan myOrganik Subsektor Tanaman Tahun 2022 di sini, malam tadi.
Mohamad berkata, huruf M pada slogan MADANI oleh kerajaan turut merujuk kepada nilai teras Mampan atau kemampanan.
“Selaras dengan nilai tersebut, kerajaan melalui Belanjawan 2023 telah menyediakan insentif khusus berjumlah RM1.6 juta kepada wira agro bagi menggalakkan ladang-ladang mendapatkan pensijilan myGAP – pesticide free yang tidak menggunakan racun perosak sintetik,” katanya. – Bernama