KUCHING: Seminar Pengenalan Aktiviti Karbon Hutan anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang diamanahkan Kerajaan Sarawak melabuhkan tirai di sini hari ini setelah diadakan di Miri, Bintulu, Sibu pada 10, 12 dan 14 Julai lalu.
Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad berkata, seminar ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak menyediakan platform perkongsian ilmu dan kerjasama dalam kalangan peserta daripada pelbagai agensi dan sektor.
“Seminar telah diadakan bagi memberi pendedahan berkaitan karbon hutan, peraturan mengenai aktiviti karbon hutan serta permit dan lesen berkaitan aktiviti karbon hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pengenalan Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak 2023 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 19 Mei tahun lalu, membentangkan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Hutan (Pindaan) 2022.
Bacaan tersebut meletakkan stok karbon dan stok gas rumah hijau (GHG) terangkum dalam hasil hutan negeri melalui aktiviti karbon hutan berlesen yang dijalankan di hutan kekal sama ada milik negeri atau tanah persendirian.
Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, pindaan itu bertujuan menambah baik pengurusan hutan dan sumber semula jadi melalui penciptaan hutan lipur bagi tujuan Pendidikan, penyelidikan dan rekreasi dan pelesenan Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai jumlah keluasan tanah kira-kira 12.4 juta hektar merangkumi 7.7 juta hektar iaitu 62 peratus masih di bawah Kawasan tutupan hutan.
Jelasnya di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak, 7 juta hektar telah diperuntukkan untuk perhutanan dan pemuliharaan mampan.
Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, 6 juta hektar adalah Hutan Kkekal (PF) dan 1 juta hektar adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) membenarkan penyerapan karbon dilakukan untuk membentuk stok karbon dan memperolehi unit kredit karbon.
Pada persidangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Hutan (Pindaan) 2022 akan merealisasikan agenda Sarawak meningkatkan stok karbon dan penghasilan ekonomi hijau Kerajaan Sarawak di peringkat global.
Menurut Fazzrudin, dengan 7.91 juta hektar hutan, stok karbon yang sedia ada di Sarawak meletakkan negeri ini di dalam lingkungan karbon negatif.
Katanya lagi, jumlah stok karbon sedia ada yang telah dikenalpasti, diukur dan diiktiraf meletakkan Sarawak dalam kedudukan baik dalam kalangan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan dalam pada itu berbesar hati untuk menawarkan kepada kerajaan negeri menjadikan kawasan naungannya sebagai salah satu projek stok karbon di Sarawak.
Jelasnya, dengan lulusnya pindaan RUU berkenaan, entiti atau pemilik tanah dan kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk menjadikan sesebuah kawasan itu sebagai stok karbon atau karbon kredit.
Katanya, perkara ini akan memberi manfaat pulangan ekonomi kepada rakyat Sarawak sebagai pemilik tanah dan membentuk satu model perniagaan yang mampu menjamin kelestarian hutan negeri ini termasuk dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon atau mencapai sifat pelepasan.
Oleh Azreen Keria