SIBU: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika keluar menjala ikan di Sungai Rajang berdekatan Tanjung Latap, semalam ditemui hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa dikenali sebagai Payau Meluda, 49, beralamat di Rumah Dana Tanjung Latap dijumpai pada radius 50 meter dari lokasi mangsa lemas sekitar 10.53 pagi tadi.
“Pada 10.53 pagi, mangsa telah dijumpai dan diserahkan kepada pihak polis 11.10 pagi untuk tindakan lanjut serta pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya, 11.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi yang memasuki hari kedua itu disertai enam anggota bomba yang diketuai Suna Kaha dan 15 anggota polis.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan, 9.56 malam.
“Pasukan bomba telah membuat pemantauan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang namun gagal menemui sebarang petunjuk.
“Operasi mencari dan menyelamat itu ditangguhkan, 11.49 malam atas nasihat pihak polis dan disambung semula hari ini,” katanya.
Terdahulu, menurut saksi, semasa kejadian, keadaan air didapati sedang surut, berpasir dan cuaca cerah.
Mangsa bagaimanapun tidak timbul selepas turun ke air yang mana jarak dari tebing ke air sungai semasa kejadian kira-kira 20 meter.
Oleh Tarani Lanting