KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran di Taman Pengurusan Sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) seluas tiga hektar masih lagi diteruskan memasuki hari kelima hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, hasil operasi yang dijalankan setakat ini telah berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan yang lebih besar.
“Kerjasama daripada pihak bomba, Jabatan Alam Sekitar malam tadi turut diterima untuk memantau dan menangani kebakaran ini,” katanya.
Beliau berkata, pengawalan dilakukan bagi menghalang api merebak ke kawasan getah dan plastik yang ditempatkan di sektor bahagian hujung kawasan terlibat.
“Dari segi pemantauan kita (JBPM) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak semalam kita cuba untuk mengawal kebakaran supaya sampah yang terbakar lebih kepada sisa domestik.
“Tindakan awal dalam operasi itu ialah melaksanakan kaedah cooling dan drenching supaya gas metana ini tidak terperangkap dalam longgokan sampah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak dalam operasi pemantauan udara JBPM Sarawak di lokasi kebakaran terbuka di KIWMP Mambong, hari ini.
Menurut laporan pihak pengurusan KIWMP Mambong, kebakaran mulai reda apabila kesan asap putih sudah mula kelihatan.
“Ini adalah satu petanda yang baik dan hari ini seboleh-bolehnya kita nak lakukan ‘total knockout’.
“Dalam kes kebakaran tapak pelupusan sampah seperti ini kita jangka akan mengambil masa dalam seminggu atau dua minggu untuk operasi memadam.
“Tetapi dengan adanya peralatan bantuan lengkap yang telah disusun atur oleh pihak bomba dan semua terlibat, saya rasa tindakan akan lebih mantap.
“…Dan jaminan berlakunya pencemaran udara seperti gas toksik yang digembar gempur oleh netizen adalah tidak benar,” tegasnya.
Khirudin turut menjelaskan bahawa pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak telah membuat pengesahan menerusi ujian kualiti udara tiada sebarang pencermaran udara yang kritikal disebabkan oleh kebakaran terbuka di tempat pelupusan sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) Mambong ini.
Selain bomba dan JAS, syarikat itu juga sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak untuk memberikan maklumat terkini mengenai situasi dan memastikan kejadian serupa akan diminimumkan pada masa hadapan.
Media melaporkan kebakaran yang berlaku pada awal pagi Jumaat lepas berjaya dikawal dan dipadam oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama pasukan respons kecemasan (ERT) syarikat terbabit dengan pihak berkuasa yang lain.
Untuk rekod, Taman Pengurusan Sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) Mambong seluas 112 hektar yang terletak 27 kilometer dari Kuching di kawasan Mambong ini mempunyai kapasiti memproses empat tan minyak industri.
Ia juga merupakan taman sisa industri paling canggih di Asia Tenggara.
Oleh Azreen Keria