KUCHING: Dengan kelajuan rangkaian internet di Long Lama, maka lahirnya seorang pengaturcara komputer yang memberi perkhidmatan secara bebas sehingga ke luar negara di pekan itu.
Lim Sie Hui, 31, dari Long Lama memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dalam Multimedia dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2017.
Sie Hui ketika ditemui oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) di Long Lama baru-baru ini berkata, rangkaian Internet yang stabil di kampungnya sejak hujung tahun lalu sekali gus membolehkan beliau terus mengejar cita-cita sebagai pengatur cara komputer profesional.
“Saya membangunkan pengatur cara komputer, laman sesawang dan permainan dalam talian untuk telefon pintar mengikut permintaan para pelanggan.
“Saya juga membangunkan aplikasi pendidikan (education apps) untuk para pelajar universiti dan ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Tambahnya, amat pratikal dan mudah difahami, itu antara maklum balas yang diterima olehnya daripada para pelajar mengenai aplikasi berkenaan.
Sie Hui kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Multimedia Komputer di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang memberitahu, rangkaian Internet yang stabil amat memudahkannya mengikuti kelas atas talian.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saya belajar di UPM,Serdang secara fizikal, namun saya balik ke kampung halaman selepas Covid-19 melanda dan meneruskan pengajian di peringkat sarjana secara atas talian.
“Sepanjang pengajian saya tidak menghadapi sebarang masalah dari segi rangkaian Internet yang kini semakin stabil,” jelasnya.
Berbanding beberapa tahun lalu, Sie Hui berkata, Internet agak sukar kerana perlu keluar rumah untuk mendapatkan rangkaian.
“Dengan rangkaian Internet yang stabil, saya dapat menambah pendapatan dari rumah kerana mempunyai permintaan untuk membangunan permainan dalam talian dari Semenanjung Malaysia dan negara China.
“Secara kasar, pendapatan saya dalam lingkungan RM2,000 sebulan hanya dari rumah,” katanya yang turut membantu ibu bapa menjaga kedai di Pekan Long Lama.
Malah, dengan kepintaran yang dimiliki olehnya, anak ketiga daripada lima beradik itu memasang sendiri kamera litar tertutup (CCTV) untuk jaminan keselamatan di kawasan kedainya.
Justeru, beliau turut menasihatkan generasi muda untuk mengambil peluang dengan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dalam meningkatkan pendapatan semasa keluarga.
“Melalui rangkaian Internet yang stabil, kita senang berkomunikasi dengan orang luar. Jadi, kita oleh pasarkan produk tempatan seperti sayur-sayuran atau kraftangan ke dunia luar.
“Setahu saya, banyak kraftangan daripada komuniti di Long Lama mendapat permintaan di luar Kawasan Long Lama,” ujarnya.
Pekan Long Lama boleh diakses melalui jalan raya berturap dengan perjalanan dua jam dari Bandar Raya Miri.
Komuniti yang terdapat di sekitar kampung di Long Lama ialah kaum Penan, Berawan, Punan, Kayan dan Kenyah.