SIBU: Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM28,600 selepas terpedaya oleh sindiket penipuan phone scam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an merupakan kakitangan sektor korporat telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pihak ‘Pos Laju’ pada Jumaat lalu.
Menurutnya, mangsa telah diberitahu ada mengirimkan barang yang mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan token bank.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada pihak polis dan mengatakan mangsa terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.
“Mangsa diarahkan untuk menekan link bag mengisi maklumat peribadi serta perbankan. Merasa bimbang dan takut mangsa telah menurut semua arahan yang diberikan oleh suspek,” jelasnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, pada Isnin lalu mangsa telah membuat semakan ke dalam akaun mendapati tiga transaksi secara keseluruhan sebanyak RM28,600 ke dalam tiga akaun bank tempatan yang tidak diketahui.
“Mangsa berasa curiga dan menyedari telah diperdaya oleh suspek. Oleh itu mangsa hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan polis,’ ujarnya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya lagi, orang ramai dinasihatkan tidak mudah panik atau merasa cemas apabila menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh Akun Giman