SIBU: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep mengharapkan kerajaan Sarawak meluluskan permohonan menaik taraf jeti lama Durin ke landskap kawasan tebingan sungai bagi menarik lebih ramai pelancong.
“Saya yakin kerajaan Sarawak giat membangunkan kawasan luar bandar termasuk Durin.
“Kerajaan Sarawak berkemungkinan akan meluluskan permohonan untuk menaik taraf jeti lama Durin dan mengubahnya menjadi tarikan pelancong dengan tebingan.
“Saya percaya Datuk Seri Tiong King Sing selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini telahpun memohon pembinaan tebingan di tebing sungai Durin Bazar.
“Kawasan yang sudah diluluskan pembinaan tebingan seperti Limbang, Kanowit, Song dan Selangau. Jadi saya percaya permohonan itu masih dalam proses.
“Jadi, sama-sama kita berdoa dan saya percaya Premier Sarawak akan pertimbangkan permohonan ini dengan membahagi sama rata arus pembangunan di kawasan luar bandar termasuk Durin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemeriksaan jeti lama di sini, malam tadi.
Henry selaku ADUN Tasik Biru juga berkata, jeti di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bagaimanapun tidak lagi digunakan kerana paras air semakin cetek menyukarkan pelabuhan bot.
Katanya lagi, akan menyemak semula agensi-agensi berkenaan yang boleh melaksanakan projek ini selain setakat ini telah menyalurkan permohonan tersebut ke pihak Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
Timbalan Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Wilayah Tengah Kaunselor Teo Boon Siew pula berkata, setiap tahun Pesta Durin akan diadakan di tebing sungai Durin Bazar.
Bagaimanapun, jeti sedia ada tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai atas faktor ruang yang terhad dan kawasan tidak berbumbung.
Justeru, berharap agar permohonan naik taraf jeti lama diluluskan sebagai lokasi tarikan pelancong yang boleh menempatkan lebih ramai pengunjung terutamanya pesta Durin kelak selain dijadikan ruangan rekreasi baharu kepada masyarakat setempat.
Oleh TARANI LANTING