SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menganjurkan Hari Cinta Bumi pada 1 Julai ini di parkir kereta berbumbung berhadapan Wisma Sanyan, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1.
Pengerusi penganjurnya Kaunselor Toh Yong Kiang berkata, orang ramai dijemput hadir menyertai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Kami berharap penganjuran Hari Cinta Bumi ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya menjaga alam sekitar.
“Kami amat berharap masyarakat dapat menjaga persekitaran kediaman mereka terutama daripada aspek kebersihan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, Kaunselor Toh menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menyertai aktiviti ini dengan menghantar dan menjual barangan kitar semula seperti kertas, surat khabar lama, botol plastik, tin makanan atau minuman dan juga besi serta sisa elektrik dan elektronik.
“Aktiviti seumpama ini diadakan untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal terus ke tapak pelupusan sampah sekali gus memupuk amalan kitar semula di kalangan masyarakat.
“Sesiapa sahaja boleh menghantar barangan elektrik dan elektronik seperti televisyen, mesin basuh, telefon bimbit dan banyak lagi untuk dikitar semula dan dijual kepada syarikat kitar semula yang berdaftar,” ujarnya.
Antara aktiviti lain ialah penjualan pakaian terpakai dan mainan untuk tujuan amal oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Sibu dan Yayasan Tzu Chi Cawangan Sibu.
Oleh TARANI LANTING