KUCHING: Untuk memastikan pencegahan kebakaran berkesan dan menyeluruh, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kevin Yii menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Dr Kevin Yii berkata, sumbangan bertujuan membantu pihak bomba dalam menjalankan program dan membiayai projek pam air mini.
“Pam air mini ini bernilai lebih kurang RM80,000 jadi kita akan mulakannya dengan projek perintis dahulu, sekiranya berkesan, mungkin kita akan berbincang untuk mengembangkan inisiatif tersebut,” katanya.
Jelasnya lagi, pam air mini ini merupakan sebuah mesin mini pemadam api yang berfungsi untuk mengakses lokasi kebakaran yang tidak dapat diakses oleh trak bomba.
Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan peralatan kebombaan kepada komuniti Kampung Selangan Batu, beliau turut menyerahkan 16 unit hos air kepada komuniti kampung tersebut.
Pada majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong bersama Dr Kevin Yii turut mengedarkan sebanyak 34 alat pemadam api kepada penduduk di Kampung Selangan Batu.
Menurut Yong, kampung berusia 40 ke 50 tahun itu, kebanyakan rumah dibina dengan kayu dan penempatan antara rumah berjarak agak dekat antara satu dengan yang lain.
“Melihat kepada jarak rumah ke rumah, risiko kebakaran merebak sangat tinggi dan saya bersama Dr Kevin ambil inisiatif untuk guna pakai peruntukan sendiri untuk membeli pemadam api kepada penduduk di sini.
“Kita akan menyerahkan 24 pemadam api yang diperuntukkan oleh Dr. Kevin Yii dan 10 lagi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cawangan Sarawak.
“Jadi, setiap 34 rumah di sini akan mendapat satu alat pemadam api untuk digunakan dalam situasi kecemasan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Datu Khirudin Drahman
Oleh SHAHRUL QAIZAT