JAKARTA: Indonesia akan memperhebat ujian saringan dan mengesan kes Covid-19 di wilayah Jawa Timur yang menjadi kawasan penularan baharu wabak, lapor agensi berita Xinhua.
Presiden Indonesia Joko Widodo pada Rabu berkata keutamaan perlu diberikan kepada wilayah itu berbanding yang lain memandangkan lonjakan kes Covid-19 yang dicatatkan di wilayah berkenaan kebelakangan ini.
Beliau menekankan mengenai pentingnya saringan berskala besar dan pengesanan terhadap mereka di bawah pemantauan dan pengawasan.
Selain menerapkan prosedur pengasingan yang ketat, pelaksanaan protokol kesihatan juga harus dilakukan, kata presiden.
Katanya, untuk menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial berskala besar, tentera dan polis akan dikerahkan ke wilayah itu.
Sehari sebelum itu, kerajaan Indonesia memutuskan untuk menghantar hampir 350,000 anggota tentera untuk mengawal keadaan.
Presiden Indonesia itu turut memberi amaran lonjakan kedua jangkitan diramal melanda memandangkan ratusan ribu orang dijangka kembali ke bandar selepas meraikan Aidilfitri di kampung.
Covid-19 setakat ini sudah mengorbankan 1,473 orang di Indonesia dan 23,851 dijangkiti, kata Kementerian Kesihatan pada Rabu- Bernama