ADI SAFARMAN
PADAWAN: Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan kepada individu yang telah didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Selasa hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, individu iaitu 12 individu termasuk 11 lelaki dan seorang wanita tempatan terbabit di kompaun kerana ingkar PKPB.
“Kesemua yang ditangkap masing-masing gagal memberikan alasan munasabah serta tiada surat kebenaran untuk pergerakan rentas daerah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Aidil berkata pada Selasa lalu, pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah berjaya mengesan dan mengeluarkan kompaun kepada lima lelaki warga tempatan dan tujuh lagi individu termasuk seorang wanita dikompaun pada Rabu.
“Pada Selasa lima lelaki dikompaun dan tujuh lagi individu termasuk seorang wanita dikompaun pada Rabu.
“12 yang dikompaun dikesan melakukan kesalahan di kawasan Kota Sentosa, Batu 17 serta Batu 18 Jalan Kuching-Serian dan Bandar Baharu Batu Kawa (MJC).
“Kesemuanya dikenakan tindakan di bawah Peraturan 5 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” tegasnya.
Aidil berkata IPD Padawan menegaskan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ingkar PKPB.
Beliau juga menasihatkan kepada semua masyarakat umum agar lebih bertanggungjawab dan memberi kerjasama dalam membendung penyebaran wabak Covid-19 ini.
“Sekiranya tiada rasa tanggungjawab pada diri sendiri, agak mustahil kita dapat memutuskan penyebaran wabak Covid-19 dan PKP atau PKPB akan berterusan. Sayangilah diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling,” ujar Aidil.