KUALA LUMPUR: Pengasas dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama Dr Razali Nawawi meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Pakar An-Nur pada 6.45 pagi tadi.
ABIM menerusi perkongsian di Facebook rasminya mengesahkan pemergian Razali yang merupakan sahabat karib Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih,” menurut hantaran di Facebook di sini, hari ini.
Menurut ABIM jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor dan solat jenazah dijangka diadakan selepas Zohor.
Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham meninggal dunia disebabkan kanser prostat yang sudah lama dihidapinya.
Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya di Bangi yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.
Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Hutan Pasir, Kelantan dan memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti al-Azhar, Mesir pada 1966.
Pada 1971, Razali menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Perbandingan Agama di Universiti Birmingham, United Kingdom seterusnya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1992.
Allahyarham pernah menjadi profesor di Fakulti Undang-Undang, UIAM bermula 1 September 1983 hingga 31 Disember 2008 dan dekan fakulti itu yang kini dikenali sebagai Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM dari 1983 hingga 1990. – Bernama