LONDON: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Bandar Westminster, Kaunselor Hamza Taouzzale antara kenamaan melawat Pavilion Antarabangsa Malaysia yang diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 (LCW).
Tun Juhar yang diiringi isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni disambut oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar sebaik tiba di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang mengetuai delegasi Malaysia dalam pameran bermula 6 hingga 14 Mei, berkenan menyampaikan taklimat berhubung pameran bertemakan “Abstract Nature” (Abstrak Alam Semula Jadi).
Tetamu kenamaan itu meluangkan masa selama satu jam melihat pameran seni kraf dan produk warisan yang memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Pameran edisi kedua Malaysia sempena Minggu Kraf London kali ini turut mengetengahkan Songket Terengganu dan telepuk (teknik menghias tekstil).
Kraf Orang Asal Sabah yang dipamerkan di pavilion itu ialah tikar tenunan tangan, Anyaman Tikar oleh etnik Rungus, Bajau Laut dari Semporna dan Pulau Bangi, produk bakul Anyaman Ribu-Ribu daripada etnik Rungus, Sulaman Pis dihasilkan oleh etnik Rungus dan Sirau hasil etnik Murut.
Sulaman pis yang unik dikenali sebagai kain tinohian dalam kalangan masyarakat Rungus. Kain kapas berukuran satu meter persegi yang disulam dengan motif bunga flora dan fauna, dilipat untuk dipakai sebagai penutup kepala dalam kalangan lelaki Rungus.
Tun Juhar kini dalam rangka lawatan kerja enam hari ke London sehingga 16 Mei.
Diiringi Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kassim Mansor dan pegawai UMS, delegasi itu berada di sini sebahagiannya untuk menandatangani beberapa perjanjian kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi di United Kingdom.
Antara lain, kerjasama yang diwujudkan adalah dengan Jabatan Kejuruteraan Cambridge University dalam bidang kejuruteraan nano dan aplikasinya dalam alam sekitar dan ekologi, kerjasama dengan Imperial College London dalam penyelidikan akademik dan ubat-ubatan tropika dan memorandum persefahaman dengan London School of Hygiene and Tropical Medicine mengenai kerjasama akademik dan penyelidikan dalam perubatan tropika.
Sementara itu, tetamu kenamaan lain yang turut melawat pameran memasuki hari keenam itu ialah Presiden Majlis Wanita (TWC) Lady Doris Butterworth, Pengerusinya Dr Rajni Rijal dan ahli TWC. – Bernama