KUCHING: Gara-gara tidak jelaskan hutang berjumlah RM13,900, sebuah kereta jenis Toyota Avanza bernombor pendaftaran asing dibakar di hadapan sebuah premis berhampiran bangunan E-Mart Batu Kawa di sini, semalam.
Mangsa iaitu pemilik kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki warga Indonesia yang menetap di Sambas, Kalimantan Barat.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian mengakibatkan 80 peratus bahagian dalaman kereta itu hangus dijilat api.
“Siasatan awal, mangsa memiliki dokumen perjalanan yang sah, bekerja sebagai pemandu membawa penumpang warga Indonesia dari negara jiran ke Malaysia.
“Pada masa kejadian, mangsa meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah premis berhampiran bangunan E-Mart Batu Kawa dan berhenti di kedai dobi layan diri untuk mencuci pakaiannya sebelum berangkat pulang ke Sambas Indonesia pada Jumaat (esok).
Menurut Abang Zainal, mangsa hanya menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan oleh seorang lelaki yang juga orang awam bahawa keretanya terbakar.
Suspek berusia 44 tahun yang menyebabkan pembakaran tersebut gagal meloloskan diri setelah tertumpas di tangan orang ramai yang berada di kawasan tersebut sekali gus ditahan anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Menurut salah seorang saksi yang juga orang awam, suspek bertindak membaling botol berisi cecair mudah terbakar ke arah cermin sisi penumpang hadapan yang telah dipecahkan mengakibatkan kebakaran berlaku.
Hail siasatan, suspek mengaku membakar kereta itu sebagai tanda amaran kepada lelaki bernama Samson yang juga bekas rakannya kerana berhutang dengan suspek berjumlah RM13,900.
Hutang yang dituntut itu adalah baki bayaran gaji penumpang yang belum dijelaskan oleh Samson.
Sebelum ini, suspek pernah membawa keluar dan masuk penumpang warga Indonesia dengan kenderaannya dan kebanyakan penumpangnya datang dari Tebedu yang akan dihantar ke pelbagai lokasi untuk tujuan melawat di Sarawak.
Suspek pada mulanya hanya ingin memberi amaran dengan membawa sehelai kertas bertulis “CALL SAMSON (KB1445) PAY MY MONEY!!!” dan berhasrat melekatkannya di kereta mangsa.
Suspek ditahan untuk disoal siasat.
Turut dirampas ialah sebuah motosikal, sekeping kertas bertulis “CALL SAMSON (KB1445) BAYAR DUIT SAYA!!! dan senjata berbahaya.
Oleh Connie Chieng