SIBU: Seorang kerani mengalami kerugian berjumlah RM38,206.78 akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang ditawarkan oleh satu sindiket penipuan baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima satu laporan berhubung perkara berkenaan, semalam.
“Mangsa dalam lingkungan umur 30-an itu mengakui berminat dengan tawaran berkenaan (kerja sambilan) menerusi aplikasi media social facebooknya yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mangsa lalu menekan pautan Whatsapp dan berhubung dengan suspek berkenaan tawaran kerja,” jelasnya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, mangsa telah diambil bekerja serta dimaklumkan perlu membuat tempahan hotel melalui laman web bookingchampspormo sepertimana yang diarahkan.
“Mangsa seterusnya membuat bayaran bagi tempahan tersebut ke dalam akaun bank yang diberikan.
“Pada Selasa lalu (9 Mei 2023) mangsa telah membuat 13 tempahan seperti yang diarahkan dengan 13 kali bayaran kepada lima akaun bank.
“Mangsa juga dijanjikan untuk mendapat gaji RM388 bagi setiap lima slot tempahan yang dibuat, namun manga tidak pernah menerima sebarang gaji.
“Mangsa sedar dirinya ditipu setelah diminta membuat pembayaran sebanyak RM34,000 kononnya bagi tujuan melepaskan gaji yang disekat oleh pihak bank,” ujarnya.