NEW DELHI: Pakistan dan China mahu sekatan unilateral ke atas Afghanistan dihentikan dan menggesa masyarakat dunia supaya terlibat secara konstruktif dengan kerajaan sementara Afghanistan.
Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari, Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar Qin Gang dan pemangku menteri luar Afghanistan Amir Khan Muttaqi berkata mereka telah bersetuju bekerjasama rapat untuk menggalakkan kestabilan serantau dan integrasi ekonomi.
“Ketiga-tiga pihak menggesa negara terlibat supaya menarik balik sekatan unilateral mereka terhadap Afghanistan dan memulangkan aset di luar negara untuk manfaat rakyat Afghanistan selain mewujudkan peluang untuk pembangunan ekonomi dan kemakmuran di Afghanistan,” menurut kenyataan bersama pada Isnin hasil pertemuan mereka di Islamabad pada Sabtu.
Berbilion dolar aset Afghanistan kekal dibekukan di luar negara, terutama di Amerika Syarikat, sejak Taliban mengambil alih kuasa di Kabul pada Ogos 2021.
“Para menteri itu menyeru masyarakat antarabangsa supaya melibatkan diri secara konstruktif dengan pihak Afghanistan,” menurut kenyataan bersama itu.
Ia menonjolkan kerjasama tiga hala dalam menggalakkan ketersambungan dan menyokong pelbagai projek serantau yang dirancang.
“Ketiga-tiga pihak mengesahkan keazaman mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi Afghanistan sebagai hab untuk keterhubungan serantau,” menurut kenyataan itu.
Mereka menekankan kerjasama lanjut menerusi Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) dan bersetuju untuk bersama-sama memperluas Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) ke Afghanistan.
Negara-negara itu berkata projek sedia ada termasuk CASA-1000, TAPI, dan Keretapi Trans-Afghan, akan meningkatkan kesalinghubungan serantau serta memastikan kemakmuran ekonomi.
Projek CASA-1000 akan membolehkan Tajikistan dan Kyrgyzstan yang kaya dengan kuasa hidro untuk menjual lebihan elektrik kepada Pakistan dan Afghanistan pada musim panas manakala saluran paip TAPI sepanjang 1,840 km akan membawa gas asli dari Turkmenistan ke Afghanistan, Pakistan dan India.
Projek Keretapi Trans-Afghanistan yang melibatkan Uzbekistan, Afghanistan dan Pakistan akan menghubungkan Asia Tengah ke Laut Arab.
Menteri-menteri luar Afghanistan, Pakistan dan China akan mengenal pasti langkah selanjutnya untuk mengembangkan aktiviti perdagangan dan pergerakan manusia.
“Ketiga-tiga pihak bersetuju untuk meningkatkan perdagangan transit melalui Pelabuhan Gwadar,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada hab perdagangan laut mega di selatan Pakistan.
Mereka juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan, militan, jenayah terancang dan penyeludupan dadah. – Bernama