LONDON, 4 November: Kira-kira 10 penerbangan di Eropah menjadi sasaran ancaman bom, menyebabkan sebuah lapangan terbang di Warsaw ditutup sementara dan jet pejuang dikerahkan di Rome, menurut pihak berkuasa.
Tiada bahan letupan ditemukan walaupun pemeriksaan menyeluruh dijalankan selepas semua pesawat berlepas dan mendarat dengan selamat di beberapa bandar di Eropah dalam tempoh beberapa jam.
Syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair, dilaporkan paling teruk terjejas apabila empat penerbangannya ke destinasi berbeza menjadi sasaran ancaman.
Polis Metropolitan London mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai ancaman terhadap empat pesawat yang dijadualkan berlepas dari atau tiba di Lapangan Terbang Heathrow, yang merupakan antara hab penerbangan tersibuk di Eropah.

Polis tidak memberikan butiran lanjut, namun memaklumkan terdapat satu lagi amaran membabitkan penerbangan di Lapangan Terbang Manchester.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada isu keselamatan dikenal pasti, menurut polis berkenaan.
Dua amaran bom menyasarkan pesawat yang menuju ke ibu negara Poland, Warsaw, termasuk penerbangan Scandinavian Airlines (SAS) dari Copenhagen dan penerbangan LOT, syarikat penerbangan Poland, dari Heathrow, menurut pihak berkuasa lapangan terbang Poland.
Pengendali lapangan terbang Sepanyol, Aena, mengesahkan protokol kecemasan diaktifkan susulan ancaman bom terhadap penerbangan Ryanair dari Manchester yang mendarat di Murcia, tenggara Sepanyol, pada 10.30 pagi (9.30 pagi GMT). Pesawat itu tiba dengan selamat.
Penerbangan Ryanair lain dari Lisbon ke Rome, Dublin ke Rome serta Dublin ke Sofia, ibu negara Bulgaria, turut menerima ancaman.
Sementara itu, sebuah kapal persiaran berbendera Panama dipindahkan penumpangnya pada lewat Selasa di pulau Syros susulan ancaman bom, menurut pengawal pantai Greece.
Kapal Crown Iris yang berlabuh di pulau itu sedang dalam perjalanan ke Haifa, Israel, dengan kira-kira 1,500 penumpang dan anak kapal.
Tiada bahan letupan ditemukan dan kapal itu dijadualkan meneruskan pelayarannya, menurut pihak berkuasa.
Jet Pejuang Dikerahkan
Jet pejuang Tentera Udara Itali sebelum itu dikerahkan untuk mengiringi penerbangan Ryanair FR9611 dari Dublin ketika pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Rome-Fiumicino pada 10.45 pagi (9.45 pagi GMT), menurut kenyataan pihak pengurusan lapangan terbang itu.

Prosedur keselamatan berkaitan ancaman bom turut dilaksanakan apabila sebuah lagi penerbangan Ryanair tiba di lapangan terbang berkenaan pada 9.40 pagi (8.40 pagi GMT).
“Pemeriksaan terhadap penumpang, bagasi dan pesawat tidak menemukan sebarang ancaman dan amaran itu ditarik balik,” menurut kenyataan berkenaan.
Sebuah penerbangan Wizz Air dari Bergamo, Itali, diperiksa selepas mendarat di Sofia, ibu negara Bulgaria, pada 9.10 pagi GMT susulan satu amaran, menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Bulgaria kepada AFP.
Semua insiden itu berlaku selepas jet pejuang dikerahkan pada Isnin apabila sebuah penerbangan Wizz Air dari Lapangan Terbang Luton, London, ke Sofia dilencongkan susulan ancaman bom dan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Budapest.
Scandinavian Airlines mengesahkan ancaman dibuat terhadap penerbangan SK751 dari Copenhagen ke Warsaw, namun pesawat itu mendarat dengan selamat pada Selasa.
Pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Chopin, Warsaw, yang menutup satu landasan bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan. Bagaimanapun, tiada bahan letupan ditemukan.
Penerbangan LOT yang turut dijadualkan tiba di Chopin dilencongkan ke sebuah lagi lapangan terbang di ibu negara Poland itu, iaitu Warsaw Modlin.
Pihak berkuasa menutup lapangan terbang berkenaan susulan amaran itu, namun pesawat Boeing 737 MAX tersebut turut mendarat dengan selamat.
“Tiada apa-apa ditemukan,” kata jurucakap Lapangan Terbang Modlin, Adam Szablowski, kepada AFP.
Menteri Pertahanan Hungary, Romulusz Ruszin-Szendi, berkata menerusi Facebook bahawa perkhidmatan amaran pertahanan udara NATO mengeluarkan amaran pada Isnin berhubung penerbangan Wizz Air dari Luton, London.
“Jet pejuang Gripen Angkatan Pertahanan Hungary berlepas dalam tempoh beberapa minit dan memastikan pesawat penumpang itu mendarat dengan selamat di Budapest,” katanya. – AFP





