KUCHING: Sekolah Rendah Chung Hua No.5 bakal menghantar seramai 21 perenang untuk mempertahankan kedudukannya dalam Pertandingan Renang Antara Sekolah Rendah Kelab Renang Power Aquatics (PASC) ke-6 tahun ini.
PASC ke-6 akan berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada 7 Mei.
Antara cabaran utama pada PASC ke-6 kali ini ialah berdepan pihak lawan iaitu Sekolah Antarabangsa St Joseph naib juara pada tahun lalu yang turut menghantar sepasukan 26 perenang.
Selain berdepan cabaran daripada Sekolah Rendah Chung Hua No. 4 yang diwakili 19 perenang yang juga menduduki tempat ketiga dalam pertandingan tersebut, tahun lalu.
Pasukan teramai perenang ialah Sekolah Rendah Chung Hua No.3 yang membariskan 32 perenang manakala Sekolah Rendah Chung Hua No. 2 dengan seramai 14 perenang.
Menurut Penasihat PASC Voon Yong Hui, sambutan pertemuan itu memberangsangkan meskipun hanya disertai 222 perenang dari 27 sekolah berbanding 242 perenang dari 33 sekolah, tahun lepas.
“Jumlah penyertaan bagi kedua-dua acara individu dan lari berganti-ganti ialah 711 dan seperti biasa, kami menjangkakan saingan akan menjadi sengit di kalangan Sekolah Rendah Chung Hua dan Sekolah Antarabangsa St Joseph,” katanya.
Tambahnya, pertandingan dilihat sebagai platform untuk perenang muda menguji minda dan fizikal masing-masing.
“Menerusi pertandingan ini, perenang berpeluang mempamerkan bakat, membina semangat kesukanan yang baik dan mempelajari cara menetapkan matlamat serta menghadapi kekecewaan apabila tewas dengan pihak lawan,” ujarnya.