KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini dikenali sebagai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri atau dalam Bahasa Inggeris ‘Ministry of Investment, Trade and Industry’, mengekalkan akronim yang sama iaitu MITI.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan berkata, ini adalah seiring dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Mesyuarat Kabinet bertarikh 5 April.
“Penjenamaan ini bertepatan dengan fungsi kementerian yang menjadi peneraju dan bertanggungjawab untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing, memperkasakan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan antarabangsa serta memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan,” katanya.
Katanya, keputusan itu juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti penggalakan pelaburan seperti yang digariskan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional bagi kesinambungan pembangunan semula ekonomi negara yang digariskan di dalam wadah Kerajaan MADANI.
“Dengan penjenamaan ini, MITI terus komited untuk menarik pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi, memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan sektor industri sedia ada sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana,” jelas kementerian. – Bernama