PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju memberi cuti tambahan kepada semua sekolah di seluruh negara pada 19 April ini sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika mengumumkannya hari ini berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan guru dan ibu bapa terutama yang bertugas di negeri lain, merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
“Dengan ini pada 19 April, KPM mengisytiharkan cuti khas untuk semua warga KPM… jadi untuk hari itu tiada sekolah.
“Kita ambil kira semua pandangan dan untuk kesejahteraan guru-guru warga KPM urus perjalanan pulang ke kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti KPM di sini, hari ini.
Berdasarkan kalendar akademik Sesi 2023/2024 KPM, cuti persekolahan sempena sambutan Hari Raya bagi negeri kumpulan A dan B adalah bermula pada 20 April (Khamis).
Fadhlina turut memaklumkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 akan diumumkan pada 18 April ini.
“Kita akan pastikan pengumuman (keputusan STAM) ini dibuat mengikut aturan biasa dan keputusan boleh diambil (di sekolah) selepas 10.00 pagi.
“Kepada anak-anak yang akan ambil keputusan STAM, kita ucapkan semoga berjaya dan mudah-mudahan keputusan ini memberikan kejayaan dan melonjakkan lagi semangat anak-anak sambung belajar,” katanya.
Seramai 4,634 calon menduduki peperiksaan STAM tahun 2022 di 134 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sementara itu, semasa ditanya sama ada sukatan pelajaran antirasuah di sekolah rendah dan menengah mencukupi bagi mengekang gejala salah laku itu, beliau berkata, sukatan pelajaran sedia ada diyakini mampu memberi impak terbaik dan ia akan dikemas kini mengikut keperluan semasa.
“(Sukatan pelajaran) adalah mengikut tahap kanak-kanak dan ini sentiasa menjadi keutamaan apatah lagi dalam soal rasuah.
“Buku teks Pendidikan Islam juga telah menunjukkan tahap tingginya peringatan tentang rasuah telah dimuatkan dalam buku teks anak-anak kita,” katanya.
Pada majlis itu, Fadhlina turut melancarkan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat KPM dan Buku Panduan Pengurusan Tindakan Tatatertib KPM. – Bernama