BINTANGOR: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Meradong merupakan satu cawangan yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti dalam usaha mendekati masyarakat setempat terutama golongan belia.
Pengerusinya, Datuk Ding Koung Hiing berkata, banyak aktiviti akan dijalankan Saberkas Meradong sempena sambutan Jubli Emas Saberkas Ke-50 pada tahun ini.
“Saya berharap golongan belia di Meradong melibatkan diri dalam semua aktiviti anjuran Saberkas Meradong.
“Kita akan menganjurkan banyak aktiviti termasuk program sukan seperti futsal, bola sepak dan sebagainya.
“Aktiviti ini mungkin akan diadakan selepas perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.
Ding yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Bintangor sempena Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Saberkas Meradong, petang semalam.
Dalam pada itu, katanya, Program Jerayawara Bubur Lambuk merupakan satu inisiatif dari Saberkas di peringkat negeri dan mungkin semua cawangannya akan menganjurkan program tersebut.
Melalui inisiatif tersebut, Ding berharap ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara Saberkas Meradong dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi I Saberkas Meradong Khairulddin Qalam Daud dan Timbalan Pengerusi II Saberkas Meradong Ley Chee Hua.
Oleh EARL ANEK