KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia turun 21.08 peratus kepada 1.67 juta tan pada Mac daripada 2.12 juta tan yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan prestasi industrinya bagi Mac 2023 berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) menurun sebanyak 23.16 peratus kepada 891,653 tan pada Mac daripada 1.16 juta tan pada Februari.
Stok minyak sawit yang diproses merosot 18.56 peratus kepada 781,391 tan daripada 959,451 tan sebelum ini.
Pengeluaran MSM, bagaimanapun, meningkat 2.77 peratus kepada 1.29 juta tan pada Mac daripada 1.25 juta tan pada Februari, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat 2.20 peratus kepada 323,743 tan daripada 316,781 tan.
“Eksport minyak sawit meningkat 31.76 peratus pada Mac kepada 1.49 juta tan daripada 1.13 juta tan pada Februari manakala eksport oleo kimia meningkat 14.28 peratus kepada 261,049 tan,” katanya.
MPOB berkata eksport biodiesel pada Mac melonjak 118.56 peratus kepada 32,127 tan daripada bulan sebelumnya pada 14,699 tan manakala hampas isirung sawit susut 7.93 peratus kepada 193,093 tan.
Eksport minyak isirung sawit meningkat 39.43 peratus pada Mac kepada 83,503 tan daripada 59,888 tan pada Februari.
Import MSM pada Mac kekal pada 5,895 tan manakala jumlah import minyak sawit susut sebanyak 24.25 peratus bulan ke bulan kepada 39,772 tan daripada bulan sebelumnya. – Bernama