KUCHING: Pembinaan sekolah Islam antarabangsa pertama di Sarawak akan dimulakan tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekolah Islam yang akan dibina itu nanti adalah berdasarkan sukatan pelajaran antarabangsa.
“Jika kita dapat membina lima sekolah antarabangsa, kita juga akan membina satu sekolah antarabangsa Islam yang akan mula dibina tahun depan.
“Kami bekerjasama dengan Madrasah Aljunied Al-Islamiah Singapura kerana sijil mereka diiktiraf oleh universiti antarabangsa yang terkenal di seluruh dunia.
“Selepas ini, kita akan dapat melahirkan anak-anak Islam yang terkemuka dan membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah tilawah al-Quran peringkat Samariang di Masjid Darul Husnul Khatimah di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, lokasi sekolah antarabangsa Islam baharu itu juga sudah dikenal pasti.
Oktober lalu, ketika majlis upacara pecah tanah Kompleks HIKMAH dan Sekolah Tahfiz HIKMAH di Jalan Pustaka Kuching, beliau menyatakan bahawa sekolah Islam antarabangsa yang akan dibina itu nanti akan berteraskan kepada pembelajaran dunia dan akhirat.
“Sudah tentu al-Quran akan dikaji dan dipelajari sambil itu mereka akan diajar ilmu-ilmu dunia seperti sains dan matematik.
“Kita akan mengemaskini sistem pendidikan kita daripada sekolah rendah, tahfiz, sekolah menengah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana kita akan membangunkan sekolah Islam peringkat silibus antarabangsa,”katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT