MIAMI: Penduduk selatan Florida tidak berkesempatan menikmati pembukaan semula restoran dan pantai-pantai selepas tempoh dua bulan perintah berkurung, iaitu apabila hujan lebat turun tanpa henti selama tiga hari berturut-turut dan menyebabkan banjir teruk melanda di Miami dan beberapa bandar persisiran lain.
Warga Florida juga telah menerima amaran ribut, angin puting beliung dan banjir kilat sejak Ahad lalu, dan kebanyakan jalan kini menjadi sungai dengan tiang elektrik berkelip-kelip.
Gambar kereta yang dinaiki air sehingga paras cermin juga tular di media sosial, manakala gambar orang sedang berkayak ketika melalui jalan di Miami. Sesetengah mereka terpaksa meluncur dan menggunakan tali untuk sampai ke kenderaan masing-masing.
“Ini merupakan epik. Tidak pernah hujan turun selebat ini dalam tiga hari berturut-turut selama lapan tahun saya tinggal di sini,” menurut ciapan salah seorang penduduk di situ.
Kejadian hujan lebat tersebut telah musnahkan perancangan hujung minggu mereka dan juga sekali gus mengelakkan kesesakan daripada berkumpul beramai-ramai semasa pembukaan semula restoran dan pantai di daerah Broward, utara Miami baru-baru ini.
Musim taufan selalunya dijangka pada 1 Jun, tetapi tahun ini ia berlaku lebih awal yang mana ribut taufan Arthur yang terjadi dua minggu lalu di Lautan Atlantik dan melewati pantai Florida dan Carolinas. – AFP