SIBU: Seorang perempuan tempatan mengalami kerugian RM48,560 selepas ditipu oleh pinjaman wang tidak wujud yang ditawarkan dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa merupakan akauntan syarikat swasta pada awalnya ingin membuat pinjaman sebanyak RM20,000, telah tertarik dengan syarikat pinjaman wang yang menawarkan pinjaman menerusi media sosial.
“Namun mangsa telah diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai ejen pinjaman wang bank di laman web tersebut,” jelasnya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM48,560 ke dalam lima akaun bank secara 12 kali transaksi melalui perbankan internet dan CDM mulai Isnin lalu (28 Mac) bagi urusan proses pinjaman seperti dokumen perbankan, pendaftaran dan pembayaran cukai bagi kelulusan segera.
“Mangsa juga dijanjikan pulangan semula wang setelah mendapat kelulusan pinjaman. Selepas membuat kesemua pembayaran, mangsa masih diminta membuat beberapa lagi pembayaran bagi tujuan pengeluaran kesemua wang.
“Mangsa berasa curiga dan telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak bank bagi memastikan kesahihan pinjaman.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya sekiranya pinjaman dijanjikan dengan kadar faedah rendah daripada yang ditawarkan ole institusi kewangan yang berlesen.
“Melalui pendekatan ini, risiko perbankan dapat dikurangkan sekaligus mengelakkan penjenayah meneruskan jenayah tersebut,” ujarnya lagi.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, bolen dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
Oleh AKUN GIMAN