MARUDI : Seorang pekerja ladang sawit di Sungai Kelabit Bakong Baram mengalami kerugian RM4,000 dan hilang pasport miliknya yang disimpan dalam beg sandangnya apabila disamun dua lelaki yang dikenalinya sejak 2019.
Mangsa, 44, berbangsa Bugis disamun di tempat tinggalnya di sebuah pondok kebun milik majikannya pada Khamis lalu (21 Mei ), 4.00 pagi.
Menurut fakta kes, mangsa tersedar daripada tidur apabila didatangi dua lelaki bersenjatakan sebilah parang yang cuba menetaknya di bahagian leher.
Dalam kejadian itu, mangsa sempat mengelak daripada tetakan suspek dan berjaya melepaskan senjata berkenaan daripada tangannya.
Bagaimanapun, mangsa mengelami kecederaan di jari di tangan sebelah kiri serta tapak tangan sebelah kanan akibat tetakan itu.
Suspek berjaya melarikan diri setelah mendapat beg sandang mangsa dengan menaiki sebuah motosikal.
Berikutan kejadain tersebut mangsa membuat laporan polis di balai polis Beluru pada Sabtu lalu ( 23 Mei), 11.44 pagi.
Atas maklumat diterima, seorang suspek berusia 31 tahun beralamat di Rh. Lawang Sg. Seruas Bakong berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siastan Jenayah di Ketuai ASP Mohd. Ruslan Mat Kib pada 12.00 tengah hari semalam semasa serbuan dilakukan di rumah pekerja Ladang Pelita Kampung Seruas, jalan Beluru / Lapok Bakong.
Semasa serbuan dibuat, dua lelaki cuba melarikan diri dari kawasan rumah berkenaan bagaimanapun seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Marudi untuk siastan lanjut.
Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Jo Hang ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, penangkapan suspek dibawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan direman mulai semalam sehingga 29 Mei ini.