KUCHING: Sarawak Microelectronics Design Semiconductor Sdn Bhd (SMD), anak syarikat milik penuh Sarawak Research and Development Council (SRDC) hari ini menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Rangka Kerja (FSA) dengan syarikat dari Jerman, X-FAB Global Services untuk menyediakan perkhidmatan reka bentuk cip.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor, Shariman Jamil, Pengarahnya Dr Peter Morin Nissom, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB Rudi de Winter dan Ketua Pegawai Teknologi kumpulan Joerg Doblaski.
Majlis pertukaran FSA itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalannya, Datuk Dr Annuar Rapaee, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datuk Seri Wan Lizozman Wan Omar dan Pengerusi X-FAB Silicon Foundries SE, Tan Sri Hamid Bugo.
Menerusi perjanjian itu, SMD akan memberikan reka bentuk cip kepada XFAB untuk membangunkan silicon IP terbaharu XFAB untuk pemindahan proses nod teknologi mereka.
“Aktiviti ini juga sejajar dengan rancangan pembesaran X-FAB di kemudahan Samajaya di Kuching untuk meningkatkan pengeluaran faundri mereka daripada 30,000 kepada 40,000 wafer sebulan menjelang 2025,” kata SMD dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya pada majlis itu berkata, perjanjian itu juga menandakan komitmen kerajaan Sarawak untuk menggerakkan industrinya ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan ekonomi bernilai tinggi.
Beliau juga berharap golongan profesional semikonduktor Sarawak yang bekerja di luar negara akan kembali menyumbang kepada industri negeri Sarawak melalui inisiatif tersebut.
“Kerjasama SMD dengan X-FAB Global Services akan menjadikan Sarawak pemain utama dalam rantaian bekalan global dan membolehkan penciptaan pekerjaan berkemahiran lebih tinggi,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN