BINTULU: Sebanyak 46 projek bekalan air berimpak tinggi bernilai RM706 juta giat dilaksanakan bagi menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek dirancang dengan teliti melibatkan Bahagian Bintulu oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat.
“Setakat ini, 29 projek bekalan air bernilai sekitar RM216 juta siap dilaksanakan dan isu bekalan air di beberapa kawasan ini berjaya ditangani.
“Manakala 11 projek bernilai sekitar RM143.2 juta masih lagi dalam fasa pembinaan dan menunjukkan perkembangan yang amat positif.
“Di samping itu juga, terdapat enam projek bernilai sekitar RM407.2 juta masih lagi berada dalam fasa perancangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam berkenaan lawatan kerja beliau ke Pejabat JBALB di sini, kelmarin.
Tambahnya, kemajuan keseluruhan tujuh projek yang masih dalam peringkat pembinaan menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan walaupun sebelum ini menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.
“Namun demikian, pihak JBALB Sarawak bersama para kontraktor projek telah mengambil langkah sewajarnya agar projek bekalan air tersebut berjalan dan dilaksanakan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, katanya lagi, projek tersebut dijangka akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
“Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak setakat ini telah menyediakan peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk memastikan jalan penyelesaian segera dapat dilaksanakan terutamanya dalam mengatasi masalah air yang dihadapi di kawasan yang dikenali sebagai ‘Stress Area’.
“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui KKDW atas kerjasama untuk memastikan bekalan air di Sarawak ini dapat dipertingkat.
“Harapan kita semua agar projek-projek pelaksanaan bekalan air dapat kita laksanakan dengan sempurna,” ujarnya.