KUCHING: Tiga Timbalan kepada Premier Sarawak hari ini diberi peluang menggunakan Toyota Mirai iaitu kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) yang mesra alam.
Penyerahan tiga unit Toyota Mirai dari SEDC Energy Sdn Bhd kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia dekat sini.
Usaha ini merupakan penanda aras kejayaan Sarawak dalam meneruskan Mobiliti Hijau dan Inisiatif Tenaga Hijau.
SEDC Energy dalam satu kenyataan menyataan kenderaan itu membuka jalan untuk Kerajaan Sarawak menilai dan membangunkan penyelesaian mampan jangka panjang untuk penghijauan sistem pengangkutan kerajaan sedia ada.
“Ia memberi peluang untuk mengkaji lebih lanjut potensi FCEV untuk pengembangan ekonomi rendah karbon yang mengutamakan saiz padat, kecekapan dan produktiviti untuk menyokong keperluan mobiliti semasa,” katanya.
Januari lalu, Abang Johari turut mula menggunakan kenderaan itu.
Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, melalui anak syarikat milik penuhnya, SEDC Energy bercita-cita untuk mempelopori masa depan sifar emisi di Sarawak dengan mempamerkan keupayaan dan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengurangkan kesan perubahan iklim dalam mobiliti melalui Kenderaan Tenaga Baharu.
Dalam pada itu, penggunaan Toyota Mirai menunjukkan komitmen Premier dan Timbalan Premier dalam merealisasikan peralihan ekonomi hijau Sarawak menjelang 2030.
Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020.
Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.
Oleh Azreen Keria