BANGKOK: Thailand mengesahkan 25 daripada 399 rakyatnya yang pulang dari Jepun, Korea Selatan dan Maldives Isnin lalu mengalami demam panas dan dikejarkan ke hospital untuk ujian Covid-19.
Agensi berita The Nation Thailand melaporkan, Timbalan Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, berkata kesemua mereka tiba melalui lima penerbangan.
“Ini termasuk 175 warga Thailand di Jepun, kebanyakannya pelajar dan staf Kedutaan Besar Thailand di Jepun, tiba dari Tokyo dengan penerbangan All Nippon Airways NH847, penerbangan THAI TG643 dan penerbangan Japan Airlines JAL31.
“Pemeriksaan awal mendapati 14 penumpang demam panas dan mereka dikejarkan ke hospital, manakala 161 yang lain dibawa ke kemudahan kuarantin kerajaan di Bangkok dan Pathum Thani,” katanya.
Menurutnya, 78 rakyat negara itu yang terkandas di Maldives terbang dari Colombo, Sri Lanka, dengan penerbangan Maldivian Airlines Q2-9350.
“Kakitangan imigresen mendapati salah seorang demam panas dan segera dihantar ke sebuah hospital di wilayah Samut Prakan, sementara selebihnya dibawa ke kemudahan kuarantin di Chon Buri.
“Satu lagi kumpulan Kumpulan dari Korea Selatan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada jam 9.45 malam.
“Antara 150 penumpang yang pulang dari Seoul, 10 didapati demam teruk dan dihantar ke hospital, sementara selebihnya dihantar ke tiga hotel di Bangkok untuk menghabiskan tempoh kuarantin wajib 14 hari,” katanya.
Sehingga petang semalam, Jepun mencatatkan 16,581 kes Covid-19 yang disahkan dengan 830 kematian, sementara Korea Selatan melaporkan 11,225 kes dengan 269 kematian.
Kedua-dua negara itu dipuji oleh masyarakat antarabangsa kerana berjaya menangani wabak terbabit dengan berkesan. Sementara itu, Maldives melaporkan jumlah kes yang disahkan agak rendah iaitu hanya 1,395 kes dengan empat kematian manakala Thailand mencatatkan 3,045 kes jangkitan serta 57 kematian akibat Covid-19. – AFP