KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah mengagihkan sejumlah RM13.02 juta daripada RM15 juta hasil kutipan zakat setakat Februari tahun ini kepada golongan asnaf yang layak melalui pelbagai program.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, manakala pada 2022, TBS telah mengagihkan hasil kutipan zakat sebanyak RM89.62 juta bagi tujuan sama berbanding RM73.63 juta pada 2021.
Agihan hasil kutipan zakat meningkat sebanyak RM15.99 juta.
“Pengagihan tersebut dilakukan melalui empat program utama TBS.
“Antara program tersebut ialah Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Zakat Bank Islam Berhad sebanyak RM875, 000 di Ibu Pejabat TBS di sini, hari ini.
Menurut Abang Mohd Shibli, TBS menyasarkan peningkatan kutipan zakat sebanyak lima peratus untuk tahun ini.
“Saya percaya peningkatan sebanyak lima peratus ini boleh dicapai, tahun lepas kita mengutip sebanyak RM117.7 juta, tahun ini inshallah kita akan dapatkan lebih RM120 juta.
“Peningkatan ini mampu dicapai kerana kebanyakan pendapatan zakat ini diperoleh daripada potongan gaji. Sebanyak 67 peratus jumlah kutipan adalah dari potongan gaji. Jadi saya lihat untuk mencapai lima peratus kenaikan ini adalah tidak mustahil.
“Saya berharap kita akan mencapai anggaran yang telah ditetapkan kerana semakin banyak kami peroleh semakin bnyak yang kami dapat salurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Sarawak Mohd Muazzam Mohamed.
Oleh SHAHRUL QAIZAT