KUCHING: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenakan penalti kepada guru baharu yang enggan berkhidmat di Sarawak bagi mengelak isu kekurangan guru di negeri ini.
Katanya, apabila seseorang itu memohon untuk menjadi guru dan telah dilatih menjadi pendidik, terdapat beberapa garis panduan dan syarat yang perlu mereka patuhi.
“Jika guru ini tidak memenuhi syarat dan gagal mengikut panduan yang telah ditetapkan, KPM mesti kenakan penalti ke atas mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan 222 daripada 3,227 guru ‘one-off’ yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.
KPM memaklumkan 3,227 guru ‘one-off’ itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara guru kontrak perkhidmatan (COS) yang ditempatkan di Sarawak.
Francis Harden tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan guru ini yang menolak tawaran ekoran mereka tidak mempunyai diploma dalam bidang pendidikan.
“Saya percaya mereka mempunyai pekerjaan lain dan berkemungkinan tidak mempunyai diploma dalam bidang pendidikan… sebab itu mereka tidak mengambil peluang ini.
“Jadi, ia terpulang kepada mereka sama ada untuk terus menjadi guru, mereka mesti ada sijil dan diploma dalam bidang pendidikan untuk melayakkan mereka menjadi guru,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN