KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang ditubuhkan kerajaan akan menerajui inisiatif untuk mengurangkan isu kesesakan di hospital kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Tan Sri Mohd Zuki Ali itu disertai oleh pelbagai agensi yang akan berbincang tentang langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, ia merangkumi langkah bagi tempoh jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang termasuk dengan menjalinkan kerjasama dengan sektor perubatan swasta.
“Antaranya, jalinan kerjasama dengan sektor swasta dan pengamal perubatan dari klinik swasta untuk kongsi sebahagian pesakit. Mereka yang tidak menghadapi penyakit kritikal boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta.
“Begitu juga (pesakit) yang datang pada waktu bukan operasi biasa… mereka boleh dihantar ke Klinik Kesihatan Daerah berdekatan di mana waktu operasinya dilanjutkan sehingga 12.00 tengah malam. Ini antara langkah dalam program jangka pendek dan jangka sederhana itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara berikutan isu kesesakan di hospital kerajaan yang semakin membimbangkan.
Menurut Fadillah isu kesesakan di hospital kerajaan masih berlaku adalah kerana sistem perkhidmatan oleh semua pegawai kesihatan seperti doktor dan jururawat di negara ini semakin bertambah baik.
Keadaan itu menyebabkan hospital kerajaan tetap menjadi tumpuan berikutan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan berkualiti selain perkhidmatan yang hampir percuma berbanding caj yang dikenakan hospital swasta.
“Walaupun kerajaan telah mengadakan banyak usaha dengan membina hospital baharu, hospital lama dinaik taraf, klinik kesihatan, klinik desa…semuanya sudah bertambah banyak, tetapi kesesakan masih berlaku,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata isu kesesakan di hospital juga menggambarkan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat menyebabkan mereka terpaksa dirujuk di hospital.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen supaya turut sama memain peranan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat kerana ia dapat membantu mengurangkan kesesakan serta beban yang ditanggung hospital kerajaan ketika ini.
– Bernama