KUCHING: Kuching akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bermula 8 hingga 9 Mac ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, persidangan yang bertemakan ‘TVET untuk memacu inovasi dan pembangunan bakat’ itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, persidangan tersebut berfungsi sebagai platform untuk berkongsi amalan dalam pembangunan bakat TVET serta mengenalpasti dan menggabungkan nilai dan kemahiran abad ke-21 yang mesti ada dalam kurikulum TVET, untuk memudahkan pembangunan Graduan TVET yang sedia ada pada masa hadapan.
“Selain itu, persidangan tersebut bertujuan untuk membincangkan evolusi dan transformasi TVET yang diperlukan dan seperti tenaga kerja berbilang generasi dan kepentingan kolaborasi pintar serta menjadi platform untuk menjalin rangkaian dan mengukuhkan kerjasama.
“persidangan ini juga akan mengukuhkan kerjasama antara industri dan institusi dengan penekanan pada perkongsian awam-swasta,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan BIMP-EAGA TVET di sebuah hotel terkemuka di Kuching di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 400 delegasi dari Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia dijangka menghadiri persidangan yang akan diadakan di Hotel Pullman Kuching.
Dalam pada itu, seramai 24 penceramah dari Malaysia dan luar negara mengesahkan penyertaan mereka.
“Persidangan ini menyatukan pihak berkepentingan utama yang menyumbang kepada transformasi TVET.
“Penceramah dan ahli panel tersebut akan berkongsi perspektif mereka mengenai pelbagai topik di bawah empat sub tema, iaitu Inovasi dan Teknologi, Pengurusan Sumber Manusia, TVET Hijau dan Memperkukuh Perkongsian Dalam Kalangan Pemain TVET BIMP-EAGA dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Ini akan membolehkan peserta untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai isu-isu yang penting, dan kepentingan menyumbang kepada transformasi berterusan TVET bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan manusia.
“Peserta juga akan dapat memperoleh pengetahuan dan maklumat terkini mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mentransformasikan enam sektor ekonomi utama Sarawak (enjin pertumbuhan utama) selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030),”katanya.
Untuk rekod, Persidangan BIMP-EAGA TVET ke-3 ini merupakan kali pertama dianjurkan di Sarawak. Sebelumnya, persidangan pertama dan kedua diadakan di Sabah dan Filipina.
Untuk maklumat lanjut termasuk peluang penajaan pendaftaran dan penyewaan gerai, hubungi urusetia persidangan Linda John (011-29929916) atau Flavian Jerry Francis (013-8355675), 082-539222, e-mel:tvet2023@ppks.edu.my).
Pendaftaran juga boleh dilakukan melalui laman web persidangan:https://tvetsarawak2023.my/.
Bagi majikan berdaftar Perbadanan Sumber Manusia(HRD Corp) , yuran pendaftaran (RM 960.00 setiap perwakilan) boleh dituntut oleh HRD Corp.
Pelajar Sarjana Muda dan Lepasan Ijazah atau sekolah menengah akan menikmati Kadar Khas Pelajar (RM 380.00 setiap pelajar).
Oleh SHAHRUL QAIZAT