LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) merekod keuntungan lebih RM3 juta hasil perolehan pendapatan pada tahun lepas.
Melakar pencapaian teratas dalam kutipan hasil perolehannya, sekali gus menaikkan imej MDL bertaraf majlis daerah di Sarawak sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Wali Kota MDL, Kaunselor Sufian Mohat, MDL turut merekodkan peningkatan hasil perolehan keuntungan dari 2019 sebanyak RM500,000 kepada RM3 juta pada 2022.
“Kejayaan MDL hasil fokus tidak berbelah bahagi dan usaha berterusan warga MDL termasuk setiausaha, ahli majlis dan kakitangan yang tampil dengan idea-idea baharu sehingga mampu menangani defisit yang dialami beberapa tahun sebelum ini.
“Bermula pada 2019 keuntungan syarikat kita MDL bermula daripada RM500,000, naik tahun seterusnya RM800,000, RM1 juta, RM2 juta dan pada tahun lepas, kita telah berjaya mencapai lebih RM3 juta,” katanya pada Majlis Makan Malam Apresiasi Bersama Ahli Majlis 2022 MDL di Dewan Kampung Bunga Raya, malam tadi.
Tambah beliau lagi, MDL dikategorikan PBT kecil bertaraf majlis daerah di seluruh negeri Sarawak, namun dianggap nombor satu apabila berjaya meraih keuntungan lebih RM3 juta dan ini dilihat sebagai satu pencapaian yang amat baik.
“MDL turut berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan rakyat di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan meskipun terdapat projek yang berdepan kelewatan,” kata beliau lagi pada masa sama memuji prestasi cemerlang ditunjukkan pihak kontraktor.
Pujian dipanjangkan kepada kontraktor kerana tidak disenarai hitamkan apabila berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus berjaya mengurangkan aduan daripada orang awam terhadap mutu pekhidmatan MDL.
Beliau juga berterima kasih kepada para pengamal media yang memberikan banyak kerjasama yang cukup baik dalam menyalur maklumat dan polisi MDL kepada rakyat.
Sementara itu, katanya, MDL akan menghidupkan beberapa pasar tamu luar bandar di daerah Limbang dalam usaha menarik kemasukan pengunjung ke daerah itu, selain mengurangkan kesesakan aliran trafik di kawasan bandar.
Jelasnya, pada masa sama, antara pasar tamu yang dikenal pasti untuk dihidupkan termasuk Pekan Tamu Medamit, Tamu di Sempadan Tedungan dan Tamu Hujung Jalan Pandaruan berhampiran Daerah Temburong Negara Brunei Darussalam.
Turut sama memeriahkan majlis ialah Setiausaha MDL, Petrick Linggie Taboh.
Oleh ADENG EDRUS