MIRI: Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan polis disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di salah sebuah pusat hiburan di Permyjaya di sini, semalam.
Ketua Polis Dearah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontijen Kuching (IPK) Sarawak pada 8.25 malam.
“Semasa melakukan pemeriksaan di dalam premis tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai dan merampas pelbagai jenis dadah seperti Ecstasy, Erimin 5 dan Ketamin seberat 549.43 gram dianggarkan bernilai RM27,674.50,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Alexson berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Dalam pada itu, Alexson berkata, pihak polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Oleh Liong Chai Ling