KUALA LUMPUR: Di luar bersahabat namun mereka ‘bermusuh’ ketika berlumba.
Situasi itu mungkin tepat untuk menggambarkan hubungan dua pelumba muda negara, Danial Syahmi Sharil dan Muhammad Hakim Danish Ramli yang akan berentap di pentas Red Bull MotoGP Rookies Cup musim 2023.
Mana tidaknya, Danial Syahmi dan Muhammad Hakim masing-masing tekad menampilkan tunggangan hebat bagi mengharumkan nama negara dalam saingan yang akan membuka tirai di Portimao, Portugal pada 25 dan 26 Mac ini.
Danial Syahmi, 21, berkata, beliau terpaksa melupakan seketika persahabatan bersama Muhammad Hakim, 15, dalam usahanya menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik di akhir musim.
“Sudah semestinya di luar kami berkawan namun ketika berlumba saya akan lawan habis-habisan dan tak fikir kawan.
“Musim lepas saya mendapat tempat ke-14 secara keseluruhan namun kali ini saya mahu dapat kedudukan kelima dengan syarat perlu memperoleh kedudukan podium sebanyak yang boleh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Memandangkan Muhammad Hakim bakal membuat kemunculan sulung pada Red Bull MotoGP Rookies Cup, Danial Syahmi sempat berpesan kepada pelumba berusia 15 tahun itu agar bersedia menerima tentangan sengit pelumba dari negara lain.
“Muhammad Hakim harus kenal dahulu pelumba lain kerana mereka ini lebih agresif dan saingan pastinya mencabar berbanding Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC),” katanya.
Tahun lepas, Muhammad Hakim melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan ATC, sejak saingan perlumbaan itu mula diperkenalkan pada 2014.
Dalam pada itu, Muhammad Hakim berkata persiapannya setakat ini berjalan lancar dan berazam untuk menghabiskan setiap perlumbaan dalam usahanya mendapatkan kedudukan terbaik pada musim pertamanya.
“Walaupun saya tengok persaingan daripada pelumba lain ramai yang mampu tunggang dengan laju, saya tetap akan memberikan yang terbaik nanti,” katanya.
Red Bull Rookies Cup adalah platform awal yang menjadi impian seluruh pelumba muda dari serata dunia dan pernah melahirkan ramai nama besar dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia seperti Raul Fernandez, Jorge Martin, Johann Zarco dan Miguel Oliveira. – Bernama