MIRI: Dua pegawai penguat kuasa sebuah agensi ditahan remanĀ tiga hari sehingga Sabtu ini kerana disyaki menerima sogokan daripada ejen pekerja warga asing di sini.
Kedua-dua suspek berusia 37 dan 51 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Miri kira-kira 3.00 petang semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Miri.
Menurut sumber, sogokan berjumlah RM5,000 itu diterima sebagai dorongan untuk membantu menyeludup keluar warga asing yang disenarai hitam.
Katanya, wang sogokan itu dimasukkan ke dalam akaun bank dua suspek tersebut.
Mahkamah Majistret Miri semalam memerintahkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas menerima permohonan SPRM.
Oleh Liong Chai Ling