KUCHING: Seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) di Igan dan Tian menzahirkan kesyukuran apabila bakal menerima kunci rumah untuk Rumah Spektra Permata (RSP) Igan dan RSP Tian secara berperingkat bermula Mac 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Mohamad Asman Ahmad berkata, 22 unit RSP dibina di Igan, sementara 20 unit dibina di Tian, menggunakan Sistem Binaan Berindustri atau IBS.
“Kedua-dua projek RSP itu dibina dibawah Skim Pembesaran Kampung (SPK), Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak.
“Kerja-kerja pembinaan kedua-dua projek bermula pada 14 Disember 2019 dan kini telah siap sepenuhnya termasuk menyediakan kemudahan jalan berturap.
“Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan dan sistem retikulasi air bagi kedua-dua skim juga dijangka bermula Februari 2023,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Unit rumah RSP Igan dan Tian berkeluasan 850 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan parkir.
SPK Igan terletak lebih kurang 50km dari bandar Mukah, sementara SPK Tian terletak lebih kurang 100km dari bandar Mukah dan 20km dari Pekan Daro.
Dalam pada itu, salah seorang pemohon berjaya RSP Igan Marini Majapar, melahirkan rasa syukur selepas impian memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan, setelah lebih 30 tahun tinggal bersama ibu bapa.
“Alhamdulillah, saya amat berterima kepada kerajaan Sarawak kerana menyediakan program RSP kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah,” ujarnya.
Selain itu, seorang peserta RSP Tian Asmahil Othman berkata, program RSP merupakan satu inisiatif murni kerajaan Negeri Sarawak untuk membantu golongan B40 khususnya di luar bandar.
“Selain lokasi strategik RSP Tian yang dekat dengan kemudahan asas seperti surau, sekolah dan kawasan lain, jarak perjalanan ke tempat bekerja juga menjadi semakin dekat,” jelasnya.
RSP merupakan langkah agenda besar kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk membawa perubahan serta pembangunan ke kawasan luar bandar dengan membangunkan penempatan baharu.
Pembiayaan perumahan pula disediakan oleh Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, anak syarikat HDC dengan kadar pinjaman serendah satu peratus.
Oleh Mohd Neenatul Aizal