LIMBANG: “Niat saya hanya untuk menolong rakyat, ini salah satu saham akhirat, soal untung rugi saya tolak ketepi.”
Begitulah kenyataan pengusaha restoran Dayana Curry & Catering, Jaffar Aziz yang memilih untuk menyajikan Menu Rahmah sejak Sabtu lalu.
“Niat saya hanya untuk menolong mereka yang susah untuk menikmati hidangan serendah RM5.
“Alhamdulillah sejak dibuka pada Sabtu lalu, Menu Rahmah bukan saja menjadi pilihan kepada mereka yang kurang berkemampuan malah yang berpendapatan tinggi turut ‘menyerbu’ hidangan Menu Rahmah,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak di restorannya yang terletak di Taman Cahaya Limbang.
Jaffar memberitahu Menu Rahmah dengan harga serendah RM5.00 di restoran tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat sejak ia diperkenalkan di restorannya.
Restorannya malahan antara terawal menyajikan Menu Rahmah di Limbang dan akan diperluaskan kepada kedai-kedai makan lain di daerah ini.
Jaffar berkata, walaupun keuntungan yang diperoleh sedikit namun ia dianggap sebagai satu usaha untuk membantu golongan memerlukan.
“Kalau ikut untung itu memang susah nak cakap kalau dibanding dengan harga bahan mentah yang melambung tinggi.
“Tapi saya percaya, jika kita jujur dan ikhlas menolong mereka yang kurang berkemampuan, rezeki kita sentiasa ada di mana-mana,” jelasnya.
Jaffar memberitahu Menu Rahmah di premisnya akan ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada pelanggan yang datang menjamu selera.
Malah, sejak ia diperkenalkan beberapa hari lalu, perniagaannya mendapat sambutan setiap hari.
Pada Selasa lepas, kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menu yang akan ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Limbang Pulnama Tarah berkata, Menu Rahmah sudah di perkenalkan di Limbang untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah sebelum diperluaskan ke kedai-kedai lain di Limbang.
Turut sama Pegawai Pemantau Harga Rafidah Nudin.
Oleh ADENG EDRUS