Isu perjawatan, gred Jururawat Masyarakat dibawa ke Dewan Negara November ini

Facebook
WhatsApp
ISU perjawatan, gred Jururawat Masyarakat dibawa ke Dewan Negara November ini. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 31 Oktober: Isu perjawatan dan kenaikan gred Jururawat Masyarakat (JM) termasuk lantikan lebih 1,000 individu yang belum menerima pelantikan akan dibawa ke persidangan Dewan Negara yang dijadual bersidang mulai 30 November ini.

Senator Dr RA Lingeshwaran berkata perkara itu penting bagi memastikan kebajikan dan laluan kerjaya JM terus diperkasa seiring dengan sumbangan mereka dalam sistem perkhidmatan kesihatan negara.

“JM yang memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan sijil profesional selepas menjalani latihan selama dua tahun enam bulan harus diberi pertimbangan kenaikan jawatan daripada Gred U1 kepada Gred U3.

“Saya juga akan memastikan JM yang menamatkan Program Bersepadu Sarjana Muda Lanjutan mendapat peluang kenaikan pangkat sebelum Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen JM Kebangsaan 2026 di sini malam ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Kejururawatan Kementerian Kesihatan N. Gowry serta Presiden Kesatuan Bidan-Bidan dan JM Kerajaan Semenanjung Malaysia Nurul Jannah Md Yusof.

Lingeshwaran berkata beliau akan turut mencadangkan supaya jururawat diberikan kelonggaran memakai kasut sukan ketika bertugas dan penggunaan pakaian scrub dipertimbang sebagai alternatif kepada seragam putih sedia ada.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Datuk Dr Adnan Mat pula menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan penyeragaman gred JM daripada Gred U1 kepada Gred U5 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata JM yang memiliki sijil dalam bidang berkenaan telah menjalani latihan selama dua tahun setengah dan tempoh itu boleh ditambah enam bulan lagi bagi membolehkan kelayakan mereka disetarakan dengan keperluan Gred U5.

Adnan berkata meskipun memegang jawatan Gred U1, JM sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk ketika berdepan kekangan kemudahan dan persekitaran kerja yang mencabar.

Beliau turut menyifatkan pengorbanan petugas kesihatan yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak sebagai peringatan agar sumbangan kumpulan barisan hadapan itu dihargai sewajarnya. – Bernama