NIAH: “Periksa pukat sangkut, terjun tidak timbul-timbul.”
Itu penjelasan rakan kepada lelaki warga tempatan yang memeriksa pukat sangkut sebelum dilaporkan hilang dikhuatiri lemas dan masih belum ditemui setakat 2.40 petang tadi.
Lelaki berkenaan dikenali sebagai Robin Sempurai berumur 33 tahun.
Menurut Ketua Balai Bomba Batu Niah PBT II Rary Binjie ketika dihubungi Utusan Sarawak, anggotanya kini sedang giat mencari mangsa yang hilang di sebuah ladang sawit di Suai Niah.
“Sejurus dimaklumkan mengenai kejadian sekitar 12.02 tengah hari tadi, sepasukan anggota dari Balai Bomba Batu Niah telah digerakan ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat.
“Robin Sempurai dikatakan telah terjun dan menyelam ke dalam parit untuk memeriksa pukatnya yang tersangkut di tempat kejadian.
“Kejadian dilaporkan berlaku pagi tadi. Rakan mangsa memberitahu Robin tidak timbul-timbul selepas menyelam ke dalam sungai itu.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh rakan mangsa mengenai kejadian,” jelasnya.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya telah pergi ke kawasan sungai tersebut untuk memeriksa pukat yang dipasang.
Setakat laporan ini ditulis, usaha mencari dan menyelamat (SAR) Robin sedang dipergiatkan.
Oleh Adum Liu