KANOWIT: Seramai 309 orang murid menerima sijil dan anugerah sempena Majlis Graduasi dan Apresiasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit kali ke-43.
Majlis Graduasi dan Apresiasi ini kali kedua diadakan di Dewan Pejabat Daerah Kanowit selepas tiga tahun negara dilanda pandemik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong menyempurnakan majlis itu.
Allan dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau amat teruja melihat jumlah penerima sijil dan anugerah yang begitu ramai.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai lagi murid pada masa akan datang bersaing secara sihat baik dari segi akademik, rohani serta sahsiah diri.
Sepanjang majlis tersebut, antara anugerah yang disampaikan ialah anugerah kepada 10 murid terbaik setiap Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, anugerah 10 murid terbaik Tingkatan 4 dan 5 mengikut aliran dan anugerah murid terbaik dalam mata pelajaran.
Penghargaan kepada murid yang melibatkan diri dalam kokurikulum peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, putera puteri sukan, murid harapan SPM dan STPM tahun 2023 serta murid cemerlang sesi pagi dan sesi petang.
Pihak SMK Kanowit juga turut memberi penghargaan kepada 59 murid Tingkatan 6 atas kerana berjaya menamatkan pembelajaran peringkat pra universiti ini.
Oleh AKUN GIMAN