SIBU: Seorang pengaturcara syarikat perisian mengalami kerugian RM14,000 selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan polis daripada mangsa berusia dalam lingkungan 20-an pada Khamis lalu.
“Mangsa menerima mesej What’s App daripada HR recruiter di Lazada link iaitu https://www.lazada.com.my/ dan diberitahu bahawa syarikat mempunyai kekosongan kerja sambilan di bahagian pemasaran digital media. Mangsa ditawarkan komisen sebanyak 30 peratus bagi satu tugasan yang diberi.
“Mangsa juga telah dimasukkan ke dua grup telegram dan mengikut arahan daripada ketua grup berkaitan kerja. Mangsa yakin apabila mendapati kesemua ahli di dalam grup telegram menerima komisen yang tinggi bagi setiap tugasan diberi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zulkipli berkata mangsa telah memasukkan wang ke dalam dua akaun menerusi lima kali transaksi sebanyak RM14,000 bagi melaksanakan tugasan.
“Mangsa menyedari apabila masih belum menerima sebarang komisen daripada syarikat yang menawarkan kerja kepadanya,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Sentiasa mengingati bahawa “nak kerja tapi kenapa kita perlu bayar?”
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan syarikat yang tidak wujud serta membuat semakan ke atas syarikat dinyatakan di dalam laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja yang tidak wujud dan di tipu,” katanya.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 / 03-26101599 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh AKUN GIMAN