KUALA LUMPUR: Malaysia merekod sebanyak 5,035,613 kes COVID-19 dengan kes sembuh 4,989,126 dan 36,938 kes kematian setakat semalam, sejak pandemik penyakit berjangkit ini melanda negara pada 25 Januari 2020.
Daripada kes harian baharu yang pernah memuncak melebih 30,000 (33,406 pada 5 Mac 2022), kes harian baharu COVID-19 negara menyusut dengan kes terendah sebanyak 101 dilaporkan pada 24 Januari 2023.
Untuk rekod, jumlah kes aktif COVID-19 negara pada 5 Mac 2022 adalah sebanyak 311,206.
Kes aktif COVID-19 negara kini berbaki 9,549 dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,133 kes (95.6 peratus) menjalani kuarantin di rumah.
Untuk rekod, kes pertama COVID-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia, melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.
Pada 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik dan menurut Kementerian Kesihatan (KKM), “ini dapat dicapai susulan kejayaan program vaksinasi COVID-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap terkawal.”
Untuk minggu terakhir Januari 2023, Malaysia mencatat kes harian baharu COVID-19 bawah 350 dengan jumlah kes 1,385 untuk tempoh 21 Januari hingga 27 Januari 2023, menyusut sekitar 33 peratus, berbanding 2,081 kes (14 Jan-20 Januari 2023).
Semalam, Malaysia mencatat 236 kes harian baharu termasuk dua kes kematian dan tiga kes import.
Menurut data KKMNOW, setakat jam 12 tengah malam tadi tiga negeri melaporkan kes sifar iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, WP Putrajaya dan Perlis.
Lima negeri mencatat kes dua angka iaitu Selangor (78), WP Kuala Lumpur (52), Melaka (23), Sarawak (22) dan Perak (11).
Lapan negeri melaporkan kes satu angka iaitu Sabah (8), Johor (8), Kedah (8), Negeri Sembilan (7), Pahang (7), Pulau Pinang (6), Terengganu (5) dan Kelantan (1).
Dengan 5,035,613 kumulatif kes COVID-19, Malaysia kini menduduki tangga 28 daripada 229 negara/wilayah yang dilanda pandemik COVID-19.
Di hadapan Malaysia ialah Chile (5,113,124 kes) dan Ukraine (5,367,032 kes).
Dalam kalangan 229 negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (53,911) diikuti Korea Selatan (31,711) dan Taiwan (24,350).
Amerika Syarikat mencatat jumlah kes kematian akibat COVID-19 tertinggi iaitu 1,132,236 kes. – Bernama