KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menajdi agensi awam pertama memperoleh penarafan kompetensi juruterbang kawalan jauh.
Ini susulan jabatan itu memenuhi keriteria ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kepada semua pengendali dron yang dilaksanakan oleh Drone Technical Centre, Kuching, Drone Academy Asia dan Chemsain Consultant Sdn Bhd.
Bagi tujuan itu, 25 kakitangan JHS menjalani latihan dan berjaya mendapatkan Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh setelah menamatkan Latihan Sijil Kecekapan Juruterbang Jauh (RCoC-B) di sini.
JHS dalam satu kenyataan menyatakan majlis penyampaian sijil tamat latihan disempurnakan oleh Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad, di Dewan Kuliah, Chemsain Consultant Sdn Bhd di sini.
Mengulas lanjut pencapaian itu, Hamden penyertaan itu menunjukkan JHS sentiasa peka dengan saranan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai penggunaan teknologi digital bagi penyampaian perkhidmatan selaras dengan hasrat menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
“Ia dapat menjimatkan kos serta berupaya meningkatkan keberkesanan pelaksanaan operasi, penguatkuasaan hutan dan pemantauan kerana ini kaedah terkini dan paling sesuai untuk memasuki kawasan hutan yang sukar dilakukan secara manual,” katanya.
Atas kepentingan itu, beliau berharap agar latihan ini dapat diteruskan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberi pengalaman baharu kepada kakitangan JHS untuk mengurus dan menjaga hutan di Sarawak dengan lebih baik lagi.
Turut hadir Pengarah Chemsain Consultant Sdn Bhd, Mohammad Siphon dan Pengurus Kanan Chemsain Consultant Sdn Bhd, Larry Ong Soon Soon.
Oleh SHAHRUL QAIZAT