KUCHING: Sarawak merancang membina satu lagi empangan hidro elektrik khusus bagi menampung keperluan membantu bekalan tenaga diperbaharui kepada negara jiran, Brunei.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pembinaan empangan hidro elektrik itu antara perbincangan kerjasama dua hala Malaysia-Brunei di Bandar Seri Begawan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, baru-baru ini.
“Walaupun Brunei tidak menghadapi masalah bekalan tenaga, sebagai salah sebuah negara yang menandatangani Perjanjian Paris yang mewajibkan setiap negara menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus tenaga diperbaharui, Sarawak menawarkan bantuan kepada negara jiran itu bagi membekalkan tenaga hidro.
“Di Sarawak, kini lebih 70 peratus tenaga yang digunakan adalah tenaga diperbaharui yang dijana oleh tiga empangan hidro iaitu empangan hidro elektrik Batang Ai, Bakun dan Murum.
“Jika Brunei memerlukan bantuan, kita akan meneruskan projek pembinaan empangan hidro di Trusan, Lawas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan khas pelancaran sambutan Perayaan Jubli Emas PUSAKA di Wisma Sumber Alam, di sini hari ini.
Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak bersedia membantu Brunei dalam menyalurkan kuasa elektrik sekiranya mereka memerlukan tenaga diperbaharui untuk memenuhi komitmen mereka bagi mematuhi Perjanjian Paris.
Katanya, sebelum ini, Brunei menyatakan minat untuk mendapatkan ekuiti dan bekerjasama bagi membangunkan empangan hidro itu.
“Jika mereka masih berminat, Sarawak sentiasa terbuka dan bersedia melaksanakannya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata banyak sektor ekonomi yang boleh disertai Brunei di Sarawak seperti sektor pembuatan, sektor minyak dan gas, sektor hiliran petrokimia serta keselamatan makanan.
“Mereka boleh melabur dalam sektor keselamatan makanan seperti penternakan, perikanan dan pertanian, malah kita membangunkan hab halal di Tanjung Manis bagi memenuhi keperluan produk halal,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZATĀ