KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mampu melaksanakan projek persekutuan di bawah kos RM50 juta.
Katanya, beliau sudah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Kuching baru-baru ini bahawa jabatan itu mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan projek berskala besar.
“Saya yakin JKR dapat memikul tugas ini dengan baik walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran terutamanya berkaitan dengan keluasan negeri.
“Tetapi adalah sangat penting untuk kita dapat melaksanakan projek seperti yang telah ditetapkan dan memastikan kualiti setiap projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat JKR mengenai kemajuan pelaksanaan projek khususnya di Bahagian Kapit di Ibu Pejabat JKR, Wisma SABERKAS di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Uggah menyempurnakan majlis perasmian Pejabat Direktorat JKR Sarawak yang juga di Wisma Saberkas.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada agensi persekutuan seperti sebelum ini.
Autonomi ini secara langsung menghapuskan birokrasi dan kelewatan projek.
Dalam pada itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mahu dinilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP), sistem, tenaga kerja dan langkah pelaksanaan bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau turut berpuas hati dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) JKR Sarawak iaitu ‘Sifar Projek Sakit’ dan berharap ia mampu membawa imej baharu dan positif kepada jabatan itu pada tahun ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal