KUCHING: Seorang lagi suspek kes samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong yang tular di media sosial baru-baru ini, berjaya ditangkap semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menahan suspek berusia 23 tahun itu di kawasan Kuching sekitar jam 7.30 malam.
Katanya, pihak polis turut merampas kereta jenis Perodua Kelisa yang diguna suspek semasa samun dan beberapa barang lain.
“Suspek turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan harta benda termasuk kes pecah rumah.
“Susulan penangkapan suspek kedua itu, kes ini telah selesai dan suspek direman pagi ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program pemberian dos penggalak Covid-19 kepada pegawai kanan, pegawai rendah polis, pegawai awam polis serta ahli keluarga IPD Kuching di Rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kuching, hari ini.
Semalam, ACP Ahsmon memberitahu seorang suspek utama berhubung kes itu berjaya ditangkap kurang dari 24 jam.
Oleh SHAHRUL QAIZAT