KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan memberi perhatian lebih daripada sebelum ini untuk mengelakkan pembangunan berat sebelah.
Beliau juga berharap isu-isu tertunggak, khususnya formula saluran kewangan kepada Sarawak dan Sabah akan dipersetujui tidak lama lagi oleh Kerajaan Persekutuan supaya dua negeri ini dapat memperoleh bahagian yang saksama dalam pulangan hasil dari Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
Katanya, Sarawak telah mencadangkan formula berdasarkan kesihatan ekonomi semasa negara dan bukannya sebagai bahan edaran semata-mata.
“Saya percaya formula Sarawak adalah mekanisme yang adil untuk membahagikan sumbangan kewangan persekutuan kepada negeri ini dan juga Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina.
Abang Johari turut meluahkan rasa gembiranya kerana beberapa isu tertunggak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya yang bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan berkesan dan pantas di negeri ini.
“Kelulusan baru-baru ini untuk memberi kuasa kepada negeri ini melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah sepatutnya menjadi langkah tepat bagi mengelakkan kelewatan atau tidak pelaksanaan projek yang diluluskan di Sarawak,” katanya.
Beliau menasihati rakyat Sarawak untuk terus berusaha ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya di Bumi Kenyalang yang tercinta ini.
“Berdasarkan keadaan sekarang kita boleh berkunjung ke rumah rakan-rakan kita yang meraikan Tahun Baharu Cina sebagai usaha berterusan untuk terus mengeratkan tali-silatulrahim antara kita dengan memperkukuhkan semangat saling hormat antara satu sama lain.
“Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2023 dan semoga kita beroleh kesejahteraan dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik. Saya bagi pihak keluarga sekali lagi mengucapkan Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le,” katanya
Oleh SHAHRUL QAIZAT